kembara sirah
untuk komen yg membina, sila berikan keutamaan pd tajuk "PEPERANGAN ZAT AL-RIQA'."

Friday, March 14, 2008

KELAHIRAN RASULULLAH S.A.W

Tarikh Kelahiran Dan Peristiwa

12 Rabiul Awal merupakan tarikh yang bersejarah yang mana saban tahun umat Islam seluruh dunia sama-sama menyambut hari kelahiran putera bertuah yang telah merubah peradaban dunia. Muhammad begitulah nama indah kepada putera Abdullah dan Aminah ini yang telah menunjukkan sifat keperibadian dan akhlak yang terpuji semenjak kecil lagi. Tujuan perayaan ini dilakukan bukanlah untuk memuja Rasulullah S.A.W tetapi sebaliknya bagi mengingati segala pengorbanan baginda dan yang lebih utama lagi untuk mencontohi akhlak serta segala sunnah yang ditinggalkan kepada kita. Menurut sejarah, Malikus Salleh yang merupakan seorang pendakwah yang terkenal pada masa itu telah memperkenalkan perayaan ini apabila beliau melihat umat Islam di kepulauan Melayu pada masa itu kurang mengamalkan sunnah serta mengabaikan akhlak-akhlak yang terpuji yang pernah ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W. Sesiapa yang menyambut kelahiran Rasul yang mulia ini tetapi hanya untuk bermegah-megah dan tidak mahu menurut segala apa yang yang dibawa oleh baginda S.A.W serta menolak hukum Pencipta mereka maka inilah yang dikatakan perayaan yang dibuat itu adalah bid'ah yang sesat yang menempah seksaan dan bala dari Allah Subhanahu wa Taala. Kita bukan mengadakan perayaan untuk mengingati baginda S.A.W sahaja tetapi mestilah diikuti dengan pelaksana segala perintah dan sunnah Rasulullah S.A.W. Pelaksana pula hendaklah meliputi semua aspek dan bukannya menurut kehendak hati sahaja seperti yang berkait dengan ibadat khusus, sunnah yang berbentuk amalan sunat dan meninggal apa yang sukar dan tidak bertepatan dengan nafsu kita seperti politik, ekonomi, perundangan, pemerintahan, batas-batas pergaulan harian dan pemakaian pakaian yang menutup aurat bukan sahaja disekolahkan, universiti, tempat kerja malah di mana sahaja termasuk di rumah apabila adanya mereka yang bukan muhrim ( halal berkahwin ) bersama.

Kelahiran Rasulullah S.A.W adalah pada tahun Gajah di mana tentera Arahan yang berpusat di Yaman telah datang ke Mekah untuk meruntuhkan Ka'bah. Perancangan ini adalah bertujuan memastikan manusia pada masa itu tidak lagi tertumpu di Mekah setiap tahun dalam mengerjakan ibadat haji sebaliknya mengerjakannya di Yaman. Datu baginda iaitu Abdul Muttalib apabila melihat kemaraan tentera bergajah Abrahah meminta agar kesemua penduduk Mekah untuk bersembunyi bagi menyelamatkan diri masing-masing daripada tentera itu. Beliau menyatakan bahawa Ka'bah adalah milik Tuhan yang mana Dia tetap menjaganya daripada pencerobohan mereka yang zalim. Akhirnya Allah menghantar burung Ababil untuk menghancurkan tentera bergajah Abrahah. Tentera Allah yang kecil iaitu burung mampu mengalahkan tentera bergajah Abrahah dengan lontaran batu-batu kecil sahaja. Ini bermakna setiap sesuatu tidak mampu melawan kehendak Allah yang Maha Pencipta. Pejuang Islam mesti yakin dengan pertolongan Allah yang akan bersama mereka yang ikhlas dan bersungguh dalam memperjuangkan Islam sebagaimana keyakinan yang wujud dalam hati datuk Rasulullah s.a.w iaitu Abdul Muttalib yang begitu yakin bahawa Ka’bah tetap akan dijaga oleh Tuannya iaitu Allah ketika melihat kemaraan tentera Abrahah. Kita sebagai pendakwah mesti lebih yakin daripada beliau terhadap pertolongan Allah dalam mengembalikan ketuanan Islam.

Lahirnya Rasulullah s.a.w daripada bangsa Arab berketurunan Quraisy selain daripada menempelak Yahudi dan Kristian yang mendakwa bahawa bani Israel merupakan anak dan kekasih Allah, ia juga memberi pengajaran kepada kita bersama bahawa lahirnya pendakwah daripada keturunan yang baik disertai pula dengan akhlak dan keperibadian yang soleh akan menjadi pemangkin yang begitu penting dalam penyebaran dakwah. Oleh itu kita perlu menitik beratkan mengenai keturunan kita dalam memastikan dakwah Islam yang kita bawa akan lebih tersebar. Ingatlah bahawa keluarga merupakan fitnah yang begitu besar kepada pendakwah di mana ramai di kalangan mad’u atau mereka yang didakwahi akan melihat bagaimana keadaan keluarga pendakwah sebelum menerima dakwah yang dibawa. Memang tidak dinafikan bahawa bukannya hanya faktor keturunan yang akan membantu dalam berdakwah kerana ramai juga yang dilahirkan dalam keadaan keturunan yang tidak terkenal tetapi mampu dan berjaya untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Ada juga yang berketurunan baik tetapi dirinya sendiri terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar sehingga menjadi seorang yang tidak berguna malah penentang kepada Islam itu sendiri. Namun begitu persoalan mengenai keturunan yang mulia dibantu oleh sifat yang terpuji serta amal yang mulia merupakan gabungan yang ideal dalam memastikan kerja-kerja dakwah yang lebih berjaya. Oleh itu Allah melahirkan baginda s.a.w dalam keluarga yang berketurunan yang mulia dan dihormati pada masa itu bagi membantu baginda s.a.w ketika menyampaikan dakwah. Mereka yang masih kufur tidak boleh lagi berhujah bahawa Islam tidak dapat diterima kerana ia dibawa oleh seorang yang berketurunan biasa kerana baginda s.a.w berketurunan baik dan terpilih.


Keadaan Jahiliah Dan Material

Lahirnya baginda di celah-celah kegemilangan kerajaan Rom, Parsi, India dan beberapa buah lagi kerajaan yang lain menunjukkan kepada kita bahawa kemajuan sesuatu tamadun itu bukannya terletak pada kemajuan material semata-mata tetapi mestilah selari dengan pembangunan insan. Kemajuan yang berasaskan maddiah dengan mengetepikan pembangunan ruhiah tidak mampu memberikan ke bahagian yang berkekalan kepada sesuatu bangsa. Kita pernah membaca dan melihat sendiri kesan kegemilangan kerajaan-kerajaan tersebut seperti kerajaan Rom di Jordan yang begitu hebat dari segi seni binanya tetapi mereka tidak mampu berlaku adil pada rakyat mereka sehingga adanya undang-undang yang melahirkan lapisan masyarakat yang berbeza taraf serta perhambaan di kalangan mereka. Mereka lebih mementingkan kehebatan dari segi material dan meninggalkan kepentingan pembinaan insan kerana mereka berada jauh daripada petunjuk wahyu Ilahi. Sikap mereka ini menular kembali ke dalam pemerintahan di negara yang menggunakan ideologi ciptaan manusia dan meninggalkan hukum Allah Yang Maha Kuasa pada masa kini. Oleh itu tujuan sebenar kedatangan Rasulullah S.A.W adalah untuk memberi sinar iman setelah begitu lama manusia lemas dalam lautan jahiliah dan kekufuran serta mengubah daripada perhambaan sesama manusia kepada tunduk dan patuh kepada Allah yang Maha Kuasa. Namun begitu Islam bukanlah menafikan sebarang pembangunan material tetapi Islam mahu melihat bagaimana pembangunan material dan rohani mampu diselaraskan demi melihat kejayaan di dunia dan akhirat. Adakah masyarakat hari ini menjadikan Jepun atau negara barat sebagai model terbaik dalam pembinaan tamadun moden semata-mata pembangunan material yang tersergam indah atau pun kerana disiplin masa dan ketekunan mereka dalam bekerja dan mengkaji?. Kita dapat lihat sendiri apa yang berlaku dalam negara di mana berbilion wang dihabiskan untuk membina bangunan yang tinggi-tinggi demi mencipta nama di mata dunia walau pun semakin hari semakin tinggi jumlah hutang negara yang ditanggung sedangkan berapa banyakkan wang yang dihabiskan untuk pembinaan manusia. Sikap memandang remeh terhadap pembinaan insan ini menyebabkan ramai rakyat yang terlibat dengan amalan yang tidak sihat malah menggugat keamanan negara. Berapa bilion terpaksa dihabiskan untuk membina penjara, pusat serenti dan pelbagai lagi dalam membendung penagihan dadah, jenayah seks dan sebagainya. Pemimpin sendiri terlibat dengan masalah politik wang yang mampu menggadaikan keseluruhan hasil dan tanah negara dalam masa terdekat dan jaka panjang.

Kehidupan baginda s.a.w dalam suasana jahiliah yang dipenuhi oleh amalan penyembahan berhala mengingatkan kita bagaimana suasana itu tidak mampu menggoyahkan dan memberi kesan kepada keperibadian Rasulullah s.a.w yang sentiasa berada di bawah naungan tarbiah Ilahi. Suasana ini juga memberi pengajaran kepada kita bersama bagaimana Rasulullah s.a.w menjadi baik dan berakhlak mulia bukannya disebabkan suasana sekitar yang baik dan soleh sebaliknya kerana didikan Allah. Ini bagi menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa baginda s.a.w menjadi soleh dan berakhlak mulia kerana terasuh dan terdidik oleh suasana sekitarnya yang baik. Kita sebagai pejuang Islam mestilah berusaha dalam membina keperibadian Muslim sejati walau pun berada dalam suasana jahiliah moden yang mencengkam bagi menyahut maksud hadis di mana Rasulullah s.a.w menyifatkan keadaan Muslim yang sejati sebagaimana ikan di laut yang mana ia tidak masin seperti air laut sebaliknya dagingnya tetap manis.


Yatim Piatu Dan Miskin

Semenjak kecil lagi Rasulullah telah diuji di mana seorang demi seorang mereka yang merupakan tempat baginda bergantung dan mengharapkan kasih sayang sebagaimana anak-anak kecil yang sebaya dengan baginda telah pergi menemui Al-Khaliq iaitu dengan dimulai dengan kematian ayahandanya Abdullah semasa baginda dalam kandungan ibundanya lagi. Kemudian diikuti dengan kematian ibundanya Aminah ketika mana baginda baru mula mengerti erti belaian kasih sayang seorang ibu. Selepas itu datuknya Abdul Muttalib pula pergi menemui Ilahi yang mana penjagaan baginda selepas itu diambil alih oleh bapa saudaranya Abu Thalib. Ujian ini telah mematangkan baginda dan menunjukkan kepada kita bahawa usaha dakwah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan disamping di uji dengan mehnah atau cabaran. Ujian ini juga adalah untuk menjauhkan Rasulullah S.AW daripada tuduhan liar bahawa ilmu yang beliau sebarkan adalah hasil warisan dan pengajian yang baginda S.A.W perolehi daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W sebaliknya ia adalah wahyu Ilahi. Begitu juga untuk menghindar daripada tuduhan yang mengatakan segala kematangan dan perilaku yang mulia pada diri Rasulullah S.A.W adalah kerana hasil penjagaan dan didikan daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W. Kehidupan sebagai anak yatim piatu juga mengajar baginda yang bakal menjadi nabi lagi rasul untuk berdikari dan juga melahirkan dalam diri baginda s.a.w sifat kasih terhadap orang susah dan menderita terutama anak yatim piatu.Sebagaimana sekarang kita dapat dapat bezakan antara yang menjadi ahli koprat kerana dilahirkan dalam keluarga koprat berbeza dengan mereka yang menjadi ahli koprat hasil usahanya sendiri. Tanggapan orang ramai mengenai kedua-dua mereka adalah berbeza walaupun kedua-duanya merupakan ahli koprat dan mereka yang lahir menjadi ahli koprat hasil daripada usahanya sendiri biasanya lebih matang kerana pernah menghadapi cabaran dan jatuh bangunnya perniagaan sebelum lahir sebagai ahli koprat. Ingatlah bahawa perjuangan untuk meninggikan kalimah La ila ha illallah bukannya dihamparkan dengan permaidani merah tetapi dibentangkan dengan onak dan duri di sepanjang perjalanan menuju matlamatnya yang suci.

Kehidupan baginda s.a.w juga tidak dihiasi dengan warisan kekayaan keluarga sebaliknya dipenuhi dengan kemiskinan sehingga jika kita membaca kitab sirah nabawiyyah ada menceritakan bagaimana keluarga ibu susunya Halimatus Sa’diyah hanya bersetuju untuk menjaga baginda s.a.w setelah mereka tidak mendapati kanak-kanak selain baginda s.a.w untuk diasuh. Ini adalah bertujuan untuk mendidik baginda s.a.w dengan erti kesusahan dan juga bagi mengelakkan kekayaan itu menjadi fitnah kepada tujuan mereka yang memeluk Islam selepas kenabian nanti. Ia juga mengingatkan bagaimana sebagai pendakwah Islam yang tulen kita mesti meneruskan usaha dalam memastikan bendera La ilaha illaLlah akan berkibar megah samada ketika senang atau pun susah. Kewangan bukanlah penghalang yang besar kepada kerja dakwah sebaliknya ia hanya sekadar bantuan sahaja dalam melancarkan tugas-tugas kita sebagai pendakwah.

PEPERANGAN ZAT AL-RIQA'

Selepas peperangan keturunan Nadhir, berlaku satu lagi peperangan iaitu peperangan yang diberi nama "Peperangan Zat al-Riqa". Peperangan ini berlaku pada bulan Jamadilawal iaitu bulan ke-5 pada tahun keempat Hijrah. Ini berlaku kerana suku Ghafatan bersiap sekali lagi untuk menyerang Madinah. Ghafatan adalah suku terbesar di Najd. Rasulullah s.a.w sendiri bersiap memimpin tentera Islam menuju ke suku Ghafatan sebelum mereka bergerak ke Madinah.
Apabila tentera Islam tiba di Ghafatan, rupa-rupanya Ghafatan sudah bersedia dengan bilangan tentera yang berlipat kali ganda daripa jumlah tentera Islam. Apabila kedua-dua pasukan tentera bertemu, masing-masing menunggu siapa yang mahu memulakan peperangan. Walaupun bilangan mereka besar, namun merekatakut dengan keberanian dan kehandalan tentera Islam. Oleh itu, mereka tidak berani memulakannya. Allah mencampakkan rasa gerun ke dalam hati mereka walaupun pada mulanya mereka yang mahu menyerang Madinah. Berhari-hari lamanya kedua-dua tentera berhadapan, namun Ghafatan tidak berani memulakan peperangan.
Akhirnya, mereka terfikir menyerang orang Islam semasa orang Islam sedang sembahyang. Mereka bersiap menyerang pada waktu sembahyang yang terdekat selepas itu. Pada masa itu, Allah turunkan cara sembahyang khauf iaitu sembahyang semasa perang. Tentera Islam terus mempraktikkan hukum ini. Sebahagiannya sembahyang bersama Rasulullah dan sebahagiannya mengawal. Apabila kumpulan pertama selesai sembahyang, mereka pula mengawal dan kumpulan yang mengawal tadi pula sembahyang.
Melihat keadaan itu, terbatal niat tentera Ghafatan untuk menyerang tentera Islam semasa mereka sembahyang. Mereka melihat tentera Islam sembahyang dengan senjata dan dikawal. Melihat apa yang berlaku, tentera Ghafatan bertambah gerun dan membuat keputusan untuk berundur meninggalkan tempat kediaman ke bukit. Rasulullah dan tentera Islam terus menawan kediaman dan pulang ke Madinah selepas beberapa hari disitu.
Sepanjang barada di situ, mereka berdakwah secara lisanul hal iaitu konsep berdakwa melalui perbuatan. Mereka dapat melihat cara hidup Islam yang indah dan tersusun. Disamping itu, dalam tempoh ini juga Rasulullah terus mendidk para sahabat kerana bagi beliau, yang lebih penting lagi adalah membina insan, iman dan takwa dalam peribadi setiap sahabat beliau.
Semasa tentera Islam bergerak pulang ke Madinah, ada seorang tentera Ghafatan keluar mengejar tentera Islam. Dia bersumpah tidak akan pulang selagi tidak berjaya membunuh atau menumpahkan darah salah seorang tentera Islam.
Tentera Islam berjalan terus sehingga berhenti berkhemah di suatu tempat. Pada malam itu giliran Ammar bin Yasir dan Abbad bin Bisyr berjaga malam dan mengawal tentera Islam. Sampai suatu masa, Ammar tertidur dan Abbad sedang sembahyang malam. Abbad berada di kawasan paling tinggi di situ supaya dia dapat melihat sebarang pergerakan ke arah tentera Islam.
Dalam senyap-senyap dan kegelapan malam itu, lelaki Ghafatan tadi telah sampai ke jarak memanah dengan Abbad. Dia memanah Abbad yang sedang khusyuk sembahyang. Anak panah itu terkena bahu Abbad. Abbad yang sedang khusyuk sembahyang tidak mahu memotong sembahyangnya. Dia mencabut anak panah dan terus sembahyang.
Lelaki Ghafatan tadi berasa pelik. Abbad tidak bergerak-gerak. Tidak pernah panahanannya pada jarak itu meleset. Dia pun memanah sekali lagi. Abbad mencabut panah dan terus sembahyang, tidak bergerak-gerak lagi. Lelaki Ghafatan itu hairan dan memanah buat kali yang ketiga. Pada masa itu, Abbad takut dia dibunuh dan berlaku perkara yang tidak baik kepada tentera Islam. Dia turun sujud dan mengejutkan Ammar.
Ammar terkejut melihat kecederaan Abbad, "Kenapa tidak dikejutnya dari awal?".
Abbad berkata, "Aku sedang membaca surah yang aku tidak mahu berhenti dari surah ini. Kalaulah bukan kerana takutkan keselamatan Rasulullah dan tentera Islam, nescaya aku tidak akan berhenti dari sembahyangku".
Si Ghafatan tadi, apabila tiga kali dia memanah Abbad dan melihat panahannya tidak memberikan kesan sedangkan dia pakar memanah dan tidak pernah panahannya meleset, Allah mencampakkan rasa gerun kedalam hatinya. Terus dia berundur senyap-senyap pulang ketempat sukunya. Inilah dia "Peperangan Zat al-Riqa' ". Dinamakan Zat al-Riqa' kerana tentera Islam yang berjalan kaki terlalu jauh sehingga koyak kasut mereka dan sampai luka-luka kaki mereka. Akhirnya mereka terpaksa membalut kaki dengan kain sebagai ganti kasut. Dari situlah dinamakan "Peperangan Zat al-Riqa' ".

Wednesday, February 27, 2008

KAABAH

KAABAH:

Dalam bahasa Arab, Kaabah bermakna sebuah tempat tinggi yang dihormati dan penuh kebesaran. Perkataan Kaabah boleh juga bermakna kiub.


Nama-nama lain adalah:
#Bait ul Ateeq - bermakna paling awal dan lama. Ia juga bermakna bebas dan merdeka. Kedua-dua makna boleh diterima.
#Bayt ul Haram - rumah dihormati.


Kaabah dibina semula 12 kali. Para akademik dan sejarahwan berkata Kaabah dibina semula antara lima hingga 12 kali. Pembinaan pertama Kaabah dilakukan oleh Nabi Adam (as). Allah SWT menyatakan dalam al-Quran Kaabah adalah rumah pertama dibina untuk manusia menyembah Allah SWT. Selepas itu, Nabi Ibrahim (as) dan Ismail (as) membina semula Kaabah.



Ukuran Kaabah diasaskan oleh Ibrahim adalah seperti berikut:


- Dinding Timur adalah 48 kaki dan 6 inci


- Dinding Hatim adalah 33 kaki - Dinding antara hajar aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki


- Dinding Barat adalah 46.5 kaki Selepas ini berlaku beberapa pembinaan semula sebelum masa Rasulullah (SAW).